BETONG, Dis 12: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebemban di sini memerlukan perhatian pihak berkuasa susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan sekolah tersebut hari ini.
Kejadian kira-kira pada pukul 2.50 petang itu mengakibatkan bahagian belakang kuarters serta dewan sekolah berkenaan berisiko menggelongsor ke dalam sungai berhampiran.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, jarak selamat sekolah berkenaan dengan kawasan sungai berhampiran dianggarkan kira-kira satu hingga dua meter sahaja.
Menurutnya, insiden tanah runtuh itu dipercayai berlaku susulan cuaca hujan berterusan dan fenomena air pasang semalam.
“Tiada mangsa yang terlibat memandangkan ketika ini kesemua guru dan pelajar tiada di sekolah kerana cuti sekolah.
“Bagaimanapun, pihak kami tetap terus memantau keadaan itu bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, sebelum itu, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 2.52 petang.
Katanya, sejurus menerima laporan kejadian berkenaan, tiga anggota Bomba dari BBP Betong dikerahkan ke lokasi insiden bagi memantau keadaan di sekolah tersebut.
“Kita berharap pihak berwajib dapat memantau serta mencari jalan penyelesaian bagi memastikan keselamatan sekolah itu terjamin,” ujarnya lagi.
Sementara itu, seorang bapa pelajar yang enggan dikenali meminta pihak berkaitan mengambil tindakan segera bagi mengelak kejadian buruk berlaku.
Menurutnya, akibat tanah runtuh itu, struktur bangunan dikhuatiri smengalami kesan kerosakan.
“Semakin hari semakin membimbangkan; apabila berlaku hujan lebat, pergerakan tanah akan berlaku,
“Jadi tindakan segera perlu dilakukan bagi mengelak keadaan menjadi lebih serius kerana runtuhan kecil itu terjadi kira-kira satu hingga dua meter dari kawasan sekolah,” katanya. — DayakDaily