SMK Petra Jaya berjaya mencipta rekod mempamerkan reka bentuk setem terbanyak

Abang Mat Ali (depan, empat dari kiri) bersama Pegawai MBOR, Nurul Fatihah (depan, dua dari kanan) dan guru SMK Petra Jaya menunjukkan sebahagian dari 3, 074 kepingan reka bentuk setem yang berjaya dipamerkan di sekolah itu.

KUCHING, Jun 27: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petra Jaya telah dimasukkan ke dalam buku Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai berjaya mempamerkan reka bentuk setem terbanyak di negara ini, di dewan sekolah itu, di sini, semalam.

Warga SMK Petra Jaya berjaya mempamerkan keseluruhannya sebanyak 3,704 keping reka bentuk setem ketika Majlis Penutupan Program Pameran Dan Pertandingan Reka Bentuk Setem Terbanyak (ReBest) Peringkat Kebangsaan 2019.

Kepingan rekaan setem terbabit dihasilkan pelajar dan murid dari sebanyak 115 sekolah dari seluruh negara ini iaitu 60 sekolah menengah dan 55 sekolah rendah yang menyertai Pertandingan ReBest Peringkat Kebangsaan 2019.


Tema pertandingan itu tahun ini adalah ‘Malaysia Indah’ dengan MBOR sebelum ini menetapkan sasaran pameran sebanyak 1,000 keping rekaan setem atau lebih untuk SMK Petra Jaya bagi memasuki buku MBOR.

Kejayaan sekolah itu memasuki buku MBOR diumumkan Pegawai MBOR, Nurul Fatihah Mahmood yang kemudian menyampaikan sijilnya kepada Pengetua SMK Petra Jaya, Khasim Brahim.

Nurul Fatihah (dua dari kiri) menyampaikan sijil mengiktiraf kejayaan SMK Petra Jaya dimasukkan dalam buku MBOR sebagai berjaya mempamerkan reka bentuk setem terbanyak kepada Khasim (tiga dari kanan) sambil disaksikan Abang Mat Ali (tiga dari kiri).

Penyampaiannya telah disaksikan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus yang mewakili Pengarah Pendidikan Sarawak bagi merasmikan majlis penutupan program terbabit.

Manakala Pertandingan ReBest Peringkat Kebangsaan 2019 menyaksikan SMK Petra Jaya juga diumumkan sebagai johan kategori reka bentuk setem terbanyak bagi sekolah manakala johan kategori sekolah menengah atas ialah SMK Ibrahim, Kedah dan kategori sekolah menengah rendah ialah SMK Convent (M) Kajang, Selangor.

Kategori Tingkatan Enam dan kategori reka bentuk unik dimenangi Augustine Klian Chester (SMK Meradong, Bintangor) dan johan kategori sekolah rendah tahap dua ialah Nur Haziqah Hamdan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ambangan Height, Kedah serta johan kategori sekolah rendah tahap satu ialah Nur Barizah Alisha Mohd Azli (SK Tuanku Azizah, Pahang).

Johan bagi kategori guru sekolah menengah dan kategori reka bentuk setem terbaik keseluruhan ialah Nor Huda Othman (SMK Merbok, Kedah) dan bagi kategori reka bentuk setem terbanyak individu dimenangi Dennis Liew Chu Sian (SMK Petra Jaya). — DayakDaily