SMK Oya muncul juara Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Yang di-Pertua Negeri Sarawak

Guru pengiring pasukan forum pelajar SMK Oya, Mukah, Rezam Sebli (kiri) menerima piala dan hadiah dari Taib (tiga dari kiri) setelah pasukan terbabit menjadi johan Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2018 yang berlangsung di Balai Budaya, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Petra Jaya.

KUCHING, Mei 14: Pasukan forum pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya mewakili bahagian Mukah dinobatkan sebagai johan Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2018 di Balai Budaya, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Pasukan itu mengalahkan pasukan forum pelajar 12 sekolah menengah lain dalam pertandingan terbabit dengan tajuk forum “Sejarah Teras Kegemilangan Negara” dengan pengerusinya Nurhusna Shuhada Julaihi dan ahli forum ialah Nazatul Erna Abdul Malik yang juga dinobatkan sebagai ahli forum terbaik pertandingan, Khairunnisa Khan Talib, Muhammad Iman Hakim Budiman dan Alia Irdina Mohd Amin serta guru pengiring, Rezam Sebli dan Muna Zakiah Salleh.

Manakala pasukan forum pelajar SMK Marudi (Miri) menjadi naib johan dengan tajuk forum “Semangat Patriotisme Semakin Layu atau Semakin Bersemarak” dengan pengerusinya, Sareena Cynthia Gerawat yang juga dinobatkan sebagai pengerusi terbaik pertandingan manakala ahli forum ialah Yosua Wen Remy, Stanley Molly Jimbai, Nur Asyiqin Maisarah Kamri dan Shermond Sering serta guru pengiring Abang Median Abang Said dan Hamisah Edrews.


Tempat ketiga ialah pasukan forum pelajar SMK Kabong (Betong) dengan tajuk forum “Disiplin Pelajar: Tanggungjawab Siapa” dengan pengerusinya Nur Farihah Ahmad Putera dan ahli forum ialah Nur Faqihah Iwanni Mohd Zatar, Mohd Azreen Afiq Zulkarnain, Shazwani Izzati Masmos dan Hasmawatiey Keriti serta guru pengiring Mat Tani dan Suriayati Mohamad@Mahamad.

Saguhati pula diterima pasukan forum SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (Kuching) dan pasukan forum SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud (Kota Samarahan) manakala sekolah lain yang turut menyertai pertandingan ialah SMK Mendamit (Limbang), SMK Asyarikin (Bintulu), SMK Kapit No. 2 (Kapit), SMK Rosli Dhoby (Sibu), SMK St Anthony (Sarikei), SMK Lubok Antu (Sri Aman), SMK Balai Ringin (Serian) dan SMK Bandar Samariang (Kuching).

Taib (berdiri tengah) bersama pelajar dan guru dari sekolah menengah yang menjadi johan, naib johan dan tempat ketiga Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2018 yang berlangsung di Balai Budaya, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Petra Jaya.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan terbabit dengan pasukan johan menerima piala pusingan dan wang tunai RM5,000 manakala naib johan (RM4,000), tempat ketiga (RM3,000), saguhati (RM1,000) dan semuanya juga menerima hadian buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan.

Sementara itu, Taib dalam ucapannya mahu melihat lebih ramai pelajar sekolah dari kaum bukan Melayu tampil menyertai pertandingan terbabit pada tahun depan supaya dapat mengambarkan kemajuan penyebaran bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan bagi masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Katanya ketika ini dalam kalangan kaum bukan Melayu di Sarawak, penguasaan bahasa Melayu mereka sudah jauh meningkat dan beliau mahu penguasaan terbabit ditingkatkan lagi dikalangan semua kaum supaya bahasa Melayu seterusnya dapat menjadi bahasa perantaraan utama bagi menyatupaduan penduduk negara ini.

Pertandingan itu juga dihadiri Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas. — DayakDaily