SMK Batu Kawa juara pertandingan CIPKPS 2019 Zon Selatan

Marrianee (empat dari kiri) dan Su'aidi (tiga dari kanan) bersama pelajar dan guru pengiring SMK Batu Kawa yang menjadi juara pertandingan Cabaran Interaktif Pengguna, Kelab Pengguna Sekolah (CIPKPS) 2019 Zon Selatan.

KUCHING, Mac 20: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawa menjadi juara pertandingan Cabaran Interaktif Pengguna, Kelab Pengguna Sekolah (CIPKPS) 2019 Zon Selatan mengalahkan 12 sekolah lain di Taman Rekreasi Wisma Bapa, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Dalam pertandingan itu SMK Batu Kawa diwakili pelajarnya iaitu Shariff Putra Haikal Sharie Albane, Ezarel Isaac’z Richard, Anastacia Bragai Nicholas Brayan dan Jazzlyn Faith Renae Robert yang kesemuanya berusia 17 tahun.

Manakala naib juara ialah SMK Kuching High dan tempat ketiga SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab dengan sekolah juara dan naib juara pertandingan terbabit akan mewakili Zon Selatan ke pertandingan Peringkat Negeri dijangka April depan.


Sekolah juara juga menerima hadiah RM200, naib juara (RM160) dan tempat ketiga (RM120) disamping piala dan sijil penghargaan disampaikan Ketua Seksyen Kepenggunaan Pejabat KPDNHEP Sarawak, Marrianee Jemlin dan Penolong Penyelia, Pejabat Pendidikan Daerah Kuching, Su’aidi Julai.

Pelajar dari 13 sekolah menengah dari Kuching dan Samarahan yang menyertai pertandingan Cabaran Interaktif Pengguna, Kelab Pengguna Sekolah (CIPKPS) 2019 Zon Selatan.

Keseluruhannya seramai 52 pelajar dari 13 sekolah menengah dari bahagian Kuching dan Samarahan telah menyertai pertandingan itu yang kali ke sembilan dianjurkan Pejabat KPDNHEP Sarawak bagi disertai ahli Kelab Pengguna Sekolah.

Sekolah lain yang menyertai pertandingan itu ialah SMK Semerah Padi Kuching, SMK Tun Abang Haji Openg, SMK Matang Jaya, SMK Bandar Kuching No 1, SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud, SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor, SMK St Thomas, SMK Pending, SMK St Mary dan SMK Muara Tuang.

CIPKS merupakan acara tahunan berbentuk pertandingan interaktif atau exlporace yang melibatkan penyertaan ahli Kelab Pengguna Sekolah di seluruh negara dan adalah program rakan strategik KPDNHEP bersama Kementerian Pendidikan. — DayakDaily