SME Bank tawar pembiayaan khas sehingga RM1 juta untuk PKS yang terjejas akibat Covid-19

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR: 16 Mac: SME Bank, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kini menawarkan pembiayaan khas maksimum sehingga RM1 juta kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Pembiayaan khas ini adalah melalui dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang diperuntukkan oleh Bank Negara Malaysia.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pembiayaan yang ditawarkan adalah dalam bentuk pembiayaan modal kerja dan ditawarkan bermula 6 Mac sehingga 31 Disember, 2020.


“Tempoh pembiayaan adalah untuk 5 tahun dengan kadar keuntungan yang kompetitif, iaitu 3.75 peratus setahun dan tanpa cagaran,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail, selain kemudahan pembiayaan SRF ini, SME Bank sejak awal Februari, juga turut menyediakan penangguhan sementara komitmen pembiayaan untuk para pelanggannya yang layak.

“Bantuan penangguhan ini akan membolehkan pelanggan-pelanggan Bank mengurus semula aliran tunai sekali gus menjamin kelangsungan operasi perniagaan.

“Sejak dilancarkan pada 6 Februari lalu, sebanyak 95 buah syarikat PKS telah memohon dan sedang dinilai untuk mendapatkan bantuan penangguhan tersebut,” katanya.

Syarikat PKS yang terkesan dengan wabak ini boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di talian 03-26037700, atau layari laman web www.smebank.com.my atau kunjungi cawangan terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan pembiayaan SRF ini. — DayakDaily