Oleh Dean Adam
KANOWIT, Feb 8: Hujan lebat yang berterusan sejak semalam telah mengakibatkan banjir di kawasan SK Ulu Bawan dekat sini hari ini.
Setakat pukul 7.30 pagi, sekolah berkenaan dikatakan dinaiki air sedalam kira-kira 1.5 meter.
Bagaimanapun, sekolah tersebut tidak dijadikan pusat pemindahan sementara, kata Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Jelasnya, tiada murid atau guru serta staf sokongan yang terjejas disebabkan kejadian itu berlaku semasa cuti sekolah.
“Untuk rekod, sekolah berkenaan mempunyai 146 orang murid, 15 guru dan tujuh staf sokongan. Buat masa ini, keadaan banjir di kawasan sekolah itu dalam keadaan terkawal,” katanya.
Sekretariat sama menambah, pengawal keselamatan dan pembersih kawasan ada di sekolah tersebut ketika ini.
“Laporan terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. — DayakDaily