Singapura berminat membuka peluang perniagaan antara syarikat perabot Singapura and Sarawak

Awang Tengah (tiga dari kanan) menerima cenderahati dari Chee (dua dari kiri) yang mengadakan kunjungan hormat kepadanya di Wisma Sumber Alam, Petra Jaya.

KUCHING, Ogos 29: Singapura berminat membuka peluang kepada syarikat perabot di negara itu mendapat bekalan kayu berkualiti dari negeri ini.

Menteri Kanan Singapura bagi Perdagangan dan Industri merangkap Menteri Pelajaran Singapura Chee Hong Tat berkata pihaknya juga sudah mula membincangkan kerjasama itu dengan kerajaan negeri.

“Kami telah membincangkan bagaimana membuka peluang kepada syarikat pengeluar perabot Singapura mengunakan kayu yang amat berkualiti baik dari Sarawak (bagi menghasilkan perabot), mengeluarkan produk perabot itu di sini dan boleh mengeksport produk tersebut ke negara lain,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke pejabat Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di Wisma Sumber Alam, Petra Jaya, di sini, hari ini.


Chee berkata syarikat pengeluar perabot Singapura ketika ini sebahagiannya berada di China dan sebahagian juga ada di Vietnam dengan mereka ada jenama sendiri dan mampu membuat reka bentuk dan mengeluarkan produk perabot bagi dieksport.

“Mereka (syarikat pengeluar perabot Singapura) masih belum berpeluang dapat (melawat) ke Sarawak lagi. Kami berharap dapat membawa sebahagian dari mereka ke Sarawak,” katanya.

Ini bagi mula memberikan syarikat terbabit peluang mengetahui lebih banyak tentang peluang perniagaan untuk mereka yang ada di Sarawak.

Selain itu, beliau mendedahkan satu pihak berkuasa negeri ini juga akan mengadakan satu pameran berkaitan perabot di Singapura awal September depan.

“Ini satu lagi peluang kepada syarikat dan pengedar perabot di Singapura berbincang dengan rakan mereka dari Sarawak,” katanya, sambil menambah dan kedua-dua pihak diharapkan akan dapat melihat peluang perniagaan yang boleh dijalankan bersama. — DayakDaily