BINTULU, April 7: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Bintulu (DM12) berjaya mematahkan satu sindiket penyeludupan tenggiling daripada sebuah vesel kargo, pada April 5 lalu.
Kegiatan sindiket itu dikesan kira-kira pukul 8.00 pagi semasa sebuah kapal ronda APMM yang sedang menjalankan operasi di Perairan Bintulu terserempak dengan sebuah vesel kargo dalam keadaan yang mencurigakan pada jarak lebih kurang dua batu nautika dari Bintulu.
Pemangku Pengarah Maritim DM12, Komander Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, kapal ronda APMM seterusnya menahan vesel kargo tersebut.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati empat kru terdiri daripada dua warga Malaysia, seorang warga India dan seorang disyaki warga
Vietnam bekerja di atas vesel tersebut.
“Hasil pemeriksaan turut menemui sejumlah 142 ekor tenggiling disyaki diseludup masuk untuk pasaran negara ini.
“Nilai pasaran daging tenggiling adalah sekitar RM220 sekilogram, manakala harga bagi sisik boleh mencecah sehingga RM800 sekilogram,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Hambali menambah, ia merupakan tangkapan pertama berlaku di APMM
Wilayah Sarawak melibatkan penyeludupan haiwan eksotik jenis tenggiling.
Katanya, anggaran nilai tangkapan kesemua tenggiling itu berjumlah RM150,000.
“Kes ini akan diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. — DayakDaily