Sindiket judi dalam talian untung RM16,000 sehari tumpas

Advertisement

KUCHING, 6 Julai: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bongkar sindiket judi dalam talian (‘online’) yang menyewa satu unit kondominium RM1,900 sebulan untuk keuntungan RM16,000 sehari.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata taktik sindiket tersebut yang cuba mengaburi pihak berkuasa berselindung di kediaman mewah tersebut di Jalan Song di sini terbongkar hasil daripada maklumat dan risikan yang dibuat.

Jelasnya, anggota dari unit ‘Task Force’ menyerbu premis tersebut sekitar jam 9.30 malam dan berjaya menahan enam individu iaitu empat lelaki dan dua wanita warga tempatan.

Advertisement

“Keenam-enam yang ditahan dipercayai pekerja di premis tersebut yang dibayar gaji RM1,500-RM1,800 sebulan dan mereka bekerja dua syif selama 24 jam sehari.

“Sindiket ini beroperasi selama lebih kurang enam bulan bermula awal tahun ini dan berdasarkan rekod serta transaksi mendapati mereka membuat keuntungan RM16,000 sehari,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Beliau turut memberitahu sejak mula beroperasi sindiket ini dianggarkan memperolehi keuntungan sehingga RM2.8 juta.

“Usaha menjejaki suspek iaitu dalang utama kes ini akan dijalankan dengan salah seorang yang ditangkap juga disyaki orang nombor dua perancang pusat judi dalam talian,” katanya.

Dedahnya juga, modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan medium media sosial termasuk WhatsApp dan Facebook untuk menarik golongan sasaran iaitu warga tempatan.

Dalam operasi tersebut, polis turut merampas komputer, telefon bimbit dan peralatan komputer.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — DayakDaily

Advertisement