Simpan dokumen penting di tempat mudah dicapai sebagai persediaan hadapi banjir

Supt Merbin Lisa

KUCHING, 4 Dis: Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan semua dokumen penting serta barang berharga disimpan di tempat yang mudah dicapai untuk dibawa jika diarahkan untuk berpindah terutama ketika banjir melanda.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, perkara itu perlu sebagai salah satu persiapan untuk berhadapan sebarang kemungkinan jika berlaku banjir di kawasan mereka.

Katanya, pihak polis juga telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir mulai dari sekarang sehingga berakhir musim tengkujuh susulan Monsun Timur Laut yang dijangka akan berakhir pada Mac tahun hadapan.


Beliau berkata, Mesyuarat Penyelarasan Persiapan “Op Banjir” turut diadakan dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, pihak RELA, Pejabat Daerah dan lain-lain agensi yang berkaitan bagi menyusun atur tindakkan ketika berlaku bencana banjir di Kuching.

Supt Merbin Lisa ketika melakukan tinjauan di salah satu kampung yang berisiko dilanda banjir di Kuching

“Bilik Gerakan Daerah Kuching juga telah bersiap sedia untuk beroperasi pada bila-bila masa jika berlaku banjir di daerah Kuching dan boleh dihubungi di talian 082-244444 dan 082-243757 jika ada maklumat/info kejadian banjir berlaku untuk pihak kita mengambil tindakan segera.

“Kekuatan petugas dan aset IPD dan pasukan Sahabat sedia untuk diatur gerak pada bila-bila bagi tujuan mangsa banjir apabila ada keperluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Merbin berkata, pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan norma baharu juga menjadi keutamaan pihaknya jika terdapat keperluan  pemindahan mangsa banjir dilakukan bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19.

Pada masa sama beliau turut menasihati orang ramai untuk sentiasa mengawasi anak-anak mereka supaya tidak bermain atau mandi manda di kawasan berisiko dilanda banjir. — DayakDaily