Sikie yakin PRS mampu rampas kerusi dikuasai pembangkang pada PRU15

Sikie ketika ditemui di Kuching hari ini.
Advertisement

KUCHING, 24 Okt: Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk John Sikie Tayai yakin partinya boleh merampas semula kerusi Parlimen yang dikuasai pihak pembangkang pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Sudah tentu, kita cuba menang di semua kerusi yang kita kalah pada PRU14.

“Kita (PRS) mencuba sebaiknya dan menyeru rakyat untuk bersama kita,” katanya ketika ditemui di Perasmian Bengkel Pengendalian Kes Mahkamah Bumiputera Sarawak di sini.

Advertisement

Tambah Sikie yang juga Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah sebuah kerajaan yang baik dan seharusnya rakyat memilih calon GPS pada PRU15 nanti.

Justeru katanya, sudah tiba masanya rakyat Sarawak keseluruhan memilih GPS.

“Samada calon PRS, PDP, SUPP atau PBB, bagi saya jangan lihat kepada parti, sebaliknya utamakan GPS,” ujar Sikie.

Pada PRU14 lepas, PRS menang di 3 daripada 6 kerusi Parlimen.

PRS menang di kerusi Parlimen Hulu Rajang, Kanowit dan Sri Aman, serta kalah di Lubok Antu, Selangau dan Julau.

Namun pada 2019 MP Sri Aman Masir Kujat mengumumkan keluar parti untuk menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB). — DayakDaily

Advertisement