Sharifah Hasidah: Petronas cabar saman Sarawak berhubung tuntutan cukai jualan

Sharifah Hasidah bersama ADUN Tasik Biru Datuk Henry Jinep pada sidang media.

Oleh Chris Bishop

BAU, 7 Dis: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah memfailkan kenyataan pembelaan sebagai mencabar saman kerajaan negeri Sarawak berhubung tuntutan cukai jualan bagi produk-produk petroleum.

Menteri Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata kenyataan pembelaan tersebut telah pun diserahkan kepada mahkamah lewat petang semalam.


Kenyataan tersebut diserahkan dua hari sebelum tempoh tamat iaitu pada 9 Disember ini.

“Ini bermakna mereka (Petronas) mencabar kita (kerajaan negeri) dan selepas memfailkan kenyataan pembelaan, perkara ini akan di bawa ke mahkamah.

“Mahkamah akan menentukan tarikh perbicaraan kelak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Sharifah Hasidah memberi ucapan pada acara Bicara Intelektual yang diadakan di Dewan Suarah Bau.

Pada 21 Oktober lepas, komptroler cukai jualan negeri dan kerajaan negeri Sarawak memfailkan writ saman dan kenyataan tuntutan terhadap Petronas di Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuching.

Tindakan itu dibuat susulan keengganan syarikat minyak negara itu membayar cukai jualan produk petroleum lima peratus.

Berhubung perkara tersebut, Sharifah Hasidah yakin kerajaan negeri boleh memenangi perbicaraan berdasarkan ketetapan perlembagaan.

Katanya, pelaksanaan cukai jualan sebanyak lima peratus yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2019 adalah hak Sarawak di bawah Perlembagaan dan juga termaktud dalam Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.

“Kita hanya melaksanakan hak di bawah perlembagaan, saya rasa mereka tidak boleh mencabar hak kita untuk menguatkuasakan cukai jualan ini,” katanya.

Menurut Sharifah Hasidah lagi, jumlah tuntutan terhadap Petronas untuk tempoh Januari hingga Jun 2019 mencecah angka bilion ringgit.

Petronas satu-satunya syarikat minyak dan gas yang beroperasi di negeri ini yang belum membayar cukai jualan tersebut. — DayakDaily