‘Shaft blower’ terbakar, orang ramai cemas

Kelihatan keadaan 'shaft blower' selepas kejadian kebakaran.
Advertisement

KUCHING, Jun 30: Orang ramai yang sedang menjamu selera di sebuah restoran makanan segera di Jalan Tun Jugah di sini cemas dengan insiden kebakaran di sebuah bangunan di belakang restoran berkenaan hari ini.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 1.55 petang itu tidak melibatkan sebarang kes kecederaan dan kemalangan jiwa.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 1.56 petang.

Advertisement

Jelasnya, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Lapan anggota bomba dari BBP Tabuan Jaya turut diarahkan ke lokasi kejadian sebagai pasukan bantuan.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran itu hanya melibatkan ‘shaft blower’ yang sedang dalam pengubahsuaian di tingkat satu bangunan yang sedang dibaik pulih.

“Kerja-kerja memadam kebakaran terus dilakukan bagi memastikan api tidak merebak ke bangunan lain yang berhampiran,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, kebakaran dipercayai berlaku apabila kerja-kerja memotong ‘shaft blower’ yang lama dilakukan menyebabkan percikan api mengenai dinding ‘shaft’ yang berminyak sehingga tercetusnya kebakaran.

Katanya, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran dan api dipadam sepenuhnya pada pukul 3.13 petang.

“Selepas memastikan keadaan adalah selamat, pasukan bomba menamatkan operasi itu pada pukul 3.15 petang,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement