KUCHING, Jan 13: Hasil maklumat awam, pasukan Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya menggagalkan cubaan untuk menjual 300 batang kayu bakau yang dipercayai diperoleh secara haram dalam satu serbuan di Jalan Matang-Batu Kawa di sini semalam.
Jurucakap SFC dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebaik menerima laporan kejadian, sepasukan anggota penguatkuasa SFC bergegas ke lokasi untuk melakukan tindakan lanjut.
Katanya, sebaik tiba di lokasi yang dinyatakan, anggota penguatkuasa SFC kemudian mengesan sebuah lori yang membawa muatan kayu bakau.
“Pasukan penguatkuasa SFC kemudian menahan pemandu lori itu sebelum melakukan pemeriksaan.
“Siasatan awal mendapati kayu bakau itu dipercayai ditebang secara haram dari kawasan Telaga Air di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jurucakap sama menambah, pemandu lori tersebut juga gagal menunjukkan dokumen sah berhubung muatan yang dibawa.
“Satu laporan polis kemudian dibuat di Balai Polis Batu Kawa untuk tindakan lanjut.
“Kayu bakau yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak bagi siasatan seterusnya,” ujarnya lagi. — DayakDaily