Setengah juta pelancong datang sejak 1 April — Nancy

Dato Sri Nancy Shukri

KUCHING, 14 Mei: Malaysia mencatatkan sejumlah 500,000 pelancong setakat ini sejak sempadan negara dibuka mulai 1 April lepas, kata Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Dato Sri Nancy Shukri.

Justeru, Nancy yakin bahawa sasaran 2 juta pelancong bagi tahun ini dapat dicapai khususnya menerusi pelbagai promosi yang telah dan sedang diadakan di luar negara.

“Terdahulu kita telah meletakkan sasaran 2 juta pelancong bagi tahun 2022 dan setakat ini telah melepasi angka 500,000 pelancong.


“Kita amat optimis kerana India akan datang kerana mereka sudah memberi indikasinya. Dan saya baru saja balik dari Dubai pada 2 hari lepas.

“Di situ (Dubai) kita dapat lihat ramai lagi yang hendak datang termasuk dari negara Arab. Saya ditanya apa tarikan baharu, mereka mahu kita menonjolkan kepada mereka apa lagi tarikan yang ada di Malaysia,” katanya.

Nancy berkata demikian di Majlis Ramah Mesra Bersama Penggiat Industri Pelancongan, Seni Dan Budaya di Institut Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak di sini, hari ini.

Tambah beliau, India menerusi agensi di Dubai telah menyuarakan keinginan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi bagi acara perkahwinan.

Tetapi bagi negara Arab katanya, usaha promosi lebih memberi fokus kepada mereka untuk menikmati keindahan alam semulajadi yang ada di negara ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa kementerian pada kali ini akan mempromosikan batik, songket dan tenunan di beberapa bandar utama di negara Arab.

“Kedua, kita sekarang mensasarkan pengembara muda yang datang untuk berbulan madu seperti dahulu yang sering datang ke Genting Highland.

“Kementerian juga akan merancakkan penggunaan motor home yang bakal menjadi menjadi hotel kepada pengembara luar negara khususnya generasi muda Arab.

“Bagi India mereka mahukan Malaysia menjadi destinasi acara perkahwinan, mereka memang sudah menunjukkan keinginan untuk datang dan oleh sebab itu saya yakin kita boleh mencapai sasaran 2 juta pelancong tahun ini,” katanya. — DayakDaily