Karim: Peruntukan RM100 juta kerajaan pusat rancakkan sektor pelancongan negeri

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, 7 Sept: Sarawak menyambut baik kenyataan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri mengenai peruntukan RM100 juta yang diperlukan untuk merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya ada memohon peruntukan tersebut selepas mengambil kira keperluan pembangunan sektor pelancongan di Sarawak.

“Jumlah yang dipohon tidaklah banyak jika dibandingkan dengan saiz Sarawak yang sangat besar berbanding dengan negeri lain dan bilangan tempat pelancongan yang menarik yang terdapat di beberapa buah bahagian di sini,” kata Karim menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, pihak kementeriannya akan mengenal pasti beberapa produk pelancongan yang berpotensi di seluruh negeri untuk diketengahkan kepada kerajaan persekutuan.

Katanya, antara produk yang berpotensi untuk diketengahkan ialah tempat tempat bersejarah seperti Santubong Archaelogical Park dan Wallace Centre di Santubong, Kuching.

Beberapa produk pelancongan di bahagian lain seperti di Sibu, Miri, Bintulu, Limbang dan banyak lagi juga turut akan dipromosikan.

“Jumlah dana yang dipohon amat penting demi pembangunan industri pelancongan di Sarawak yang terjejas teruk akibat pandemik Covid19, ramai pelancong asing terpaksa membatalkan rancangan mereka untuk melawat ke sini.

“Jumlah pelawat ke negeri Sarawak telah berkurang dengan begitu drastik akibat Covid-19 dan ramai dikalangan rakan rakan kita yang bergantung hidup pada sektor pelancongan terpaksa menanggung kerugian,” kata Karim lagi.

Beliau juga berterima kasih dengan pihak kerajaan persekutuan kerana telah memberi agihan sebanyak 50 peratus atau lebih RM5 juta dari hasil kutipan cukai pelancongan di negeri ini pada tahun 2019.-DayakDaily