Serpihan roket China ditemui di Pantu, Sri Aman

Operasi pengesanan radioaktif dilakukan ke atas serpihan roket tersebut.

PANTU, 11 Ogos: Lagi penemuan serpihan logam roket China ditemui di sebuah kawasan Ladang Kelapa Sawit di Semawa Baru, di sini semalam.

Ketua Bomba Zon 3 Ramlan Marajan berkata objek logam tersebut ditemui oleh orang awam sekitar jam 11.56 pagi pada hari Selasa.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman terus ke lokasi kejadian.


“Setiba di lokasi kejadian, didapati benar terdapat serpihan logam roket China ditemui oleh orang awan.

“Serpihan logam tersebut berwarna perak berukuran panjang lebih kurang 2.3 meter dan lebar lebih kurang 1 meter dengan ketebalan logam tersebut dianggarkan 5mm dan fizikal logam tersebut kelihatan kesan pecah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelasnya, pasukan Bomba bersama pihak polis kemudian membuat peninjauan dan juga pemantauan di kawasan tersebut sementara menunggu pihak Jabatan Kimia dan ATOM.

“Setibanya pihak Jabatan Kimia dan ATOM di lokasi, operasi pengesanan radioaktif pada serpihan logam tersebut dijalankan bersama pihak Bomba dengan lengkap memakai full PPE (Tyvex Suit).

“Setelah pengesanan radioaktif selesai dijalankan, dikenalpasti bahawa tiada bahan radioaktif dikesan serta objek tersebut selamat untuk disentuh,” katanya.

Menurutnya, objek tersebut kemudian diserahkan kepada Jabatan Kimia dan pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi selesai sepenuhnya sekitar jam 6.20 petang semalam dan anggota tiba di Balai Bomba pada jam 8.05 malam. — DayakDaily