Serangan nyumboh di Batang Masit, padi tidak menjadi

Jamba ketika ditemui di Rh Jepun sempat menunjukan kayu tiang 'kibung' yang digunakan untuk mengumpul lada.
Advertisement

KUCHING, 2 April: Serangan kera berterusan penyebab kawasan sekitar Batang Masit di Julau tiada padi.

Kehadiran binatang tersebut yang dikenali sebagai ‘nyumboh’ oleh masyarakat Iban sekitarnya sukar dikawal dan semakin membiak.

Nyumboh gemar memakan biji padi yang sekaligus merosakan batang padi milik penduduk.

Advertisement

“Dahulu memang kita mengusahakan padi bukit di kawasan Hulu Sungai Masit.

“Kita bersusah payah menanam padi, sekumpulan lebih kurang 50 ekor nyumboh ini pula yang datang menuai hasil.

“Bukan itu sahaja, binatang ini merosakan keseluruhan tanaman (padi).

“Oleh yang demikian, sejak 2003 keseluruhan Batang Masit tidak dapat menanam padi lagi,” kata Jamba Unya ketika ditemui pada Sabtu lepas.

Bagi memastikan kawasan tanaman padi tidak diceroboh, pemilik terpaksa bermalam di kebun sepanjang tempoh pembesaran padi.

Tambah Jamba yang berasal dari Rh Jepun di Sungai Masit, nyumboh ini sukar dikawal dan berada di mana-mana sahaja.

“Terlampau banyak nyumboh di sini, masyarakat di Batang Masit pula tidak makan binatang ini.

“Jika dimakan boleh gila. Sekarang pun nyumboh ini sudah berkeliaran berdekatan rumah panjang dengan memakan apa sahaja tanaman penduduk.

“Kelapa sawit pun turut dimakan,” jelas Jamba yang turut mengusahakan kebun sawit dan lada.

Berikutan itu ujarnya, masyarakat Batang Masit rata-ratanya tidak menanam padi lagi dan hanya membeli beras. — DayakDaily

Advertisement