Seramai 4,800 penduduk Kampung Tanjung Bundong jalani PKPD

Polis mengawal jalan masuk ke Kampung Tanjung Bundong.

KUCHING, 25 Mei: Seramai 4,800 orang penduduk di Kampung Tanjung Bundong Tradisi, Kampung Tanjung Bundong Lot Fasa Satu dan Kampung Tanjung Bundong Lot Fasa Dua di Samarahan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Isnin sehingga 6 Jun 2021.

Memetik laporan UKAS, penguatkuasaan PKPD di kawasan berkenaan telah diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) setelah mengambil kira kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam kalangan komuniti.

Ini setelah kawasan terbabit merekodkan 35 kes positif Covid-19 baharu sejak pengesanan penyakit berjangkit berkenaan pasca sambutan Hari Raya Aidilfitri.

MP Kota Samarahan Rubiah Wang memberitahu, pihaknya akan memastikan penduduk di Kampung Tanjung Bundong dibantu seperti pelaksanaan PKPD di Kampung Binyu, Taman Univista dan Kampung Serpan Laut sejak awal tahun ini.

“PKPD di Kampung Tanjung Bundong dilaksanakan selepas pertimbangan dibuat secara berhati-hati terutama sekali setelah mengambil kira kadar kebolehjangkitan wabak Covid-19 yang amat tinggi apabila terdapat lebih 30 kes positif dikesan.

“Justeru, penduduk di Kampung Tanjung Bundong dinasihatkan supaya kekal di rumah masing-masing serta patuh kepada arahan pihak berkuasa sepanjang PKPD dilaksanakan.

“Berdasarkan pengalaman PKPD di beberapa kawasan di Kota Samarahan iaitu di Taman Univista, Kampung Binyuk dan Kampung Serpan Laut, kita percaya bahawa PKPD berkesan dalam mengekang penularan wabak Covid-19” kata Rubiah.

Tambah beliau, bantuan bekalan makanan sedang diatur dan ia melibatkan kerjasama diantara pihaknya bersama ADUN Muara Tuang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta akan diagihkan kepada penduduk menerusi agensi-agensi yang terlibat.

Rubiah Wang dalam pada itu meminta orang ramai untuk bersama-sama membantu kerajaan dan petugas barisan hadapan dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19 dengan membuat “self-lockdown”.

Orang ramai diminta untuk tidak keluar dari rumah melainkan terdapat urusan penting sahaja dan mendaftar sebagai salah seorang penerima vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. — DayakDaily