Oleh Chris Bishop
KUCHING, 3 Sep: Sepuluh sekeluarga di Kampung Kudei Lama di sini lega setelah boleh menduduki rumah baharu hari ini.
Pemiliknya Malik Abu Bakar berkata, ia setelah rumah lama mereka roboh pada 1 Mei lepas akibat hujan lebat yang turun secara tiba-tiba.
“Kejadian berlaku sekitar jam 4 petang dan ketika itu ada lapan orang di dalam rumah termasuk ibu yang berumur 93 tahun.
“Kesemua ahli keluarga ketika itu berjaya keluar untuk menyelamatkan diri.
“Runtuhan bermula di bahagian dapur dan secara berperingkat kesemua struktur rumah roboh pada hari yang sama,” katanya.
Hari ini Malik menerima kunci masuk kepada rumah baharu hasil sumbangan syarikat Ibraco Berhad menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Kunci kepada rumah baharu empat bilik yang dibina dengan kos RM95,000 telah diserahkan Adun Satok Dato Ibrahim Baki.
Dalam pada itu, Malik bersama isteri dan lima orang anak berumur 5 hingga 17 tahun mengucapkan terima kasih kepada Ibrahim dan Ibraco yang telah membantu.
Dalam tempoh tiga bulan lepas, Malik sekeluarga termasuk ibu, abang dan anak buah menumpang sementara waktu di rumah saudara berhampiran. ā DayakDaily