Sepersalinan khas batik linut untuk Agong, Permaisuri Agong

Koleksi yang akan dipersembahkan kepada Agong dan Permaisuri Agong. Foto kredit: TVS

KUCHING, 9 Sept: Sepersalinan khas daripada batik linut bakal dihadiahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut laporan TVS, Pengarah Batik Linut Sdn Bhd, Diana Rose berkata, pihaknya turut berhasrat menghadiahkan selendang daripada kain sutera yang digelar selendang tulen batik linut kepada Permaisuri Agong setibanya pasangan diraja di sini.

“Permaisuri Agong adalah orang yang pertama menggunakan produk terbaharu ini.


“Kami sangat teruja menanti keberangkatan tiba Sri Paduka berdua ke Miri membuatkan kami berusaha menghasilkan sepersalinan khas untuk Agong dan Permaisuri Agong kita,” katanya ketika ditemui di Coco Cabana, di Miri, hari ini.

Sementara, baju batik linut diperbuat daripada 100 peratus kain kapas tulen pula akan dihadiahkan kepada Al-Sultan Abdullah.

“Rekaan baju untuk Agong diinspirasikan dari alam semula jadi Sarawak iaitu terendak, paku pakis (bentuk golong) dan juga bunga melor,” ujarnya.

Agong dan Permaisuri Agong bersama rombongan Kembara Kenali Borneo meneruskan perjalanan ke Bandar Seri Begawan, Brunei semalam dan sebelum tiba di Miri hari ini sekitar jam 11 pagi.

Rombongan Seri Paduka perkenan melawat Pusat Kraftangan Miri, Coco Cabana dan Kampung Pangkalan Lutong hari ini. – DayakDaily