BETONG, 29 Sept: Seorang wanita tersepit di dalam keretanya selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda (4WD) di Jalan Berbuling, Spaoh hari sekitar jam 1.30 petang hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa berusia 24 tahun semasa kejadian memandu kereta dari arah Betong menuju ke Spaoh.
Katanya, turut bersama mangsa semasa kejadian adalah ibunya yang berusia 42 tahun.
“Kereta mereka telah bertembung dengan sebuah 4WD yang datang dari arah bertentangan menyebabkan mangsa tersepit di bahagian kaki tempat duduk pemandu.
“Operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan dan diserahkan kepada pihak ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Manakala ibu mangsa dan pemandu 4WD dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu yang kebetulan melalui kawasan tersebut turut berhenti melihat keadaan mangsa.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Betong untuk tindakan selanjutnya.
Operasi menyelamat yang diketuai Pegawai Bomba Kanan Syderik Lagou bersama anggota Balai Bomba Betong tamat sepenuhnya pada jam 3 petang.
Punca kemalangan masih dalam siasatan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Betong. — DayakDaily