SERIAN, 28 Feb: Seorang wanita disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan di atas jejambat (bulatan durian) di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa yang berusia 22 tahun semasa kejadian menunggang motosikal dari arah Kuching menuju ke Balai Ringin sekitar jam 7 malam.
Katanya, setiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar pembahagi jalan dan kemudian melanggar sebuah lagi motosikal di hadapannya.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa tercampak ke laluan bersebelahan dan mengalami kecederaan parah di kepala.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan selepas diperiksa pegawai perubatan dari Hospital Daerah Serian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa yang berasal dari Kampung Bayur, Balai Ringin itu kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya.
Manakala penunggang sebuah lagi motosikal yang dilanggar mangsa turut dikejarkan ke hospital akibat kecederaan yang dialaminya.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. ― DayakDaily