Seorang wanita maut dalam kemalangan di Kota Samarahan

Operasi Bomba di lokasi kemalangan.

KOTA SAMARAHAN, 22 May: Seorang wanita maut dalam kemalangan jalan raya berdekatan N.B Motors Sdn Bhd, di sini lewat malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.20 tengah malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dengan sebuah Perodua Axia dan terdapat seorang wanita tersepit di bahagian pemandu Perodua Axia.

“Pihak Bomba terus menjalankan operasi sehingga mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 12.50 tengah malam.

“Mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa dikenali sebagai Mary Peter, 53 tahun, kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Manakala pemandu 4WD dilaporkan selamat.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.30 pagi. — DayakDaily

Advertisement