Seorang wanita maut dalam kemalangan di Jalan Bintulu-Miri

Pihak KKM memeriksa keadaan mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

BINTULU, 30 Jun: Seorang maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan kendiri membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Batu 20 Jalan Bintulu-Miri hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.27 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi kejadian, didapati berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah 4WD yang terbalik di bahu jalan.

“Kemalangan telah menyebabkan dua cedera ringan, masing-masing seorang lelaki dan wanita dibawa ke hospital oleh Unit EMRS.

“Manakala seorang lagi wanita cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tamat pada jam 3.15 petang. — DayakDaily