Seorang wanita ditangkap, tipu pelaburan kosmetik, babitkan kerugian RM15,000

PDRM logo

KOTA PADAWAN, 7 Sept: Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Padawan berjaya menangkap seorang wanita disyaki suspek kes penipuan pelaburan kosmetik semalam.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dalam kenyataan akhbarnya memberitahu suspek, 30 tahun ditangkap sekitar jam 10.00 pagi.

Katanya saspek yang berasal dari Asajaya Kota Samarahan menyerah diri di IPD Padawan ekoran daripada hebahan di media sosial sejak dua minggu lepas.

“Suspek dikehendaki untuk membantu siasatan bersabit kes penipuan pelaburan syarikat kosmetik yang melibatkan kerugian sebanyak RM15,000.

“Suspek selain itu mengaku menerima wang pelaburan tersebut, namun diserahkan secara tunai kesemua wang tersebut secara berperingkat kepada seorang lelaki yang mana maklumat lanjut lelaki tersebut gagal diberikan oleh suspek,” katanya.

Difahamkan, kejadian dilaporkan oleh seorang mangsa yang telah menyerahkan wang tersebut kepada seorang lelaki dalam bentuk tunai dan juga dimasukkan ke dalam satu akaun atas nama syarikat saspek.

Apabila disedari tidak mendapat sebarang keuntungan daripada pelaburan yang dijanjikan, mangsa terus membuat laporan polis.

Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. — DayakDaily