Seorang tersepit dalam kemalangan dua buah lori di Jalan Kuching-Serian

Kelihatan pihak Bomba memeriksa keadaan mangsa yang tersepit.

KUCHING, 30 Jun: Seorang lelaki dikhuatiri mengalami patah kaki kiri akibat tersepit di dalam lori yang terlibat kemalangan di Jalan Batu 19 Jalan Kuching-Serian malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan melibatkan dua buah lori itu dilaporkan berlaku pada jam 10 malam.

Katanya, bertindak kepada laporan tersebut, beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan terus ke lokasi kejadian.


“Setibanya di tempt kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua buah lori kargo.

“Kemalangan melibatkan tiga orang mangsa. Salah seorang mangsa tersepit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan Bomba menggunakan alat khas untuk menyelamatkan mangsa yang tersepit.

“Selepas berjaya dikeluarkan, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans,” katanya.

Seterusnya pasukan Bomba membuat pembersihan jalan daripada serpihan kaca dan tumpahan minyak kesan daripada kemalangan. — DayakDaily