Seorang rentung, tiga lagi selamat dalam kebakaran di Limbang

Mayat mangsa dibawa keluar dari dalam bangunan.

LIMBANG, 6 Ogos: Seorang wanita ditemui rentung, manakala tiga lagi selamat dalam insiden kebakaran sebuah kedai runcit di Jalan Kubong, Kampung Batu Bekarang, di sini awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa yang rentung dikenali sebagai Wong Ah Ping berusia sekitar 80an.

Katanya, laporan berhubung kejadian diterima pada jam 2.31 pagi dan beberapa anggota dari Balai Bomba Limbang terus ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

“Setibanya di lokasi, didapati api sedang marak memusnahkan satu blok bangunan yang dijadikan kedai runcit.

“Semasa kejadian terdapat empat penghuni, di mana tiga daripadanya berjaya menyelamatkan diri dan seorang lagi (mangsa) masih terperangkap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi memadamkan kebakaran tersebut dilakukan sehingga jam 7 pagi tadi dan mayat mangsa telah berjaya ditemui di dalam bangunan tersebut.

Seterusnya mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily