PADAWAN, 27 Okt: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menahan seorang remaja lelaki kerana disyaki merogol seorang gadis bawah umur sehingga mengandung.
Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek, 16 tahun, ditahan di perkarangan Balai Polis Kota Sentosa pada jam 1.50 petang hari ini.
Katanya, suspek semasa disoal siasat mengaku ada melakukan hubungan seks dengan mangsa pada Januari tahun ini.
“Laporan polis dibuat oleh pihak klinik selepas mangsa yang berusia 14 tahun disahkan mengandung 29 minggu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah  Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Suspek akan ditahan reman bermula esok untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily
Advertisement