Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan di Jalan Kuching-Serian

Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan tersebut semalam.
Advertisement

KUCHING, 21 Mei: Seorang peniaga kedai kopi meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan di Batu 13, Jalan Kuching-Serian semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Bingkok John berkata mangsa seorang lelaki berusia 46 tahun berasal dari Jalan Arang, di sini.

Katanya, semasa kejadian mangsa menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi dari arah Kuching menuju ke arah Serian sekitar jam 1.45 petang.

Advertisement

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu sebuah Toyota Rush bergerak lurus di lorong kanan dari arah Kuching dan tiba-tiba dilanggar sebuah motosikal (mangsa) dari belakang.

“Akibat kemalangan tersebut menyebabkan mangsa terbabas ke bahu kiri jalan dan dan pemandu Toyota Rush terus memberhentikan keretanya di bahu kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement