Isteri sempat dengar jeritan terakhir suami yang dipukul sekumpulan lelaki sehingga maut

PDRM logo

BALAI RINGIN, 21 Mei: Seorang lelaki ditemui mati, dipercayai akibat diserang sekumpulan lelaki di hadapan rumahnya sendiri di sebuah kampung di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata kejadian tersebut disedari isteri mangsa yang mendengar jeritan mangsa sekitar jam 4 petang.

Katanya, isteri mangsa yang sedang menidurkan anak mereka kemudian bergegas keluar dan melihat suaminya telah dipukul sekumpulan lelaki.


“Ketika sampai ke tempt kejadian yang terletak lebih kurang 50 meter dari rumah mereka, si isteri mendapati suaminya dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri.

“Seterusnya pengadu membawa suaminya ke klinik Balai Ringin untuk mendapatkan rawatan dan kemudian dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 8.45 pagi semalam.

“Ekoran kejadian itu, IPD Serian telah menahan dan menangkap tiga lelaki yang disyaki terlibat dengan kes ini,” katanya.

Jelas beliau, kes tersebut yang terdahulunya disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti motif kejadian,” katanya. — DayakDaily