Seorang penghuni rumah terbakar di Bintulu meninggal dunia

Fire and Rescue Department Malaysia/ Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia logo

BINTULU, 29 Okt: Seorang daripada penghuni rumah yang terbakar di Jalan Tun Hussien Onn, Taman Kemena Raya, di sini disahkan meninggal dunia hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Bintulu.

Katanya, mangsa bersama seorang lagi penghuni terperangkap di dalam rumah tersebut yang terbakar sekitar jam 8.25 malam sebelum diselamatkan orang awam.


“Seorang daripada mangsa sedar manakala seorang lagi tidak sedarkan diri dan telah diberi bantuan CPR oleh Unit EMRS Bomba Bintulu.

“Kedua-dua mangsa diserahkan pada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, mangsa dikenali sebagai Moh Chee Mong disahkan meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan di Hospital Bintulu hari ini.

Kebakaran rumah jenis kekal dua tingkat itu dilaporkan berlaku malam tadi yang menyebabkan 20 peratus rumah tersebut musnah.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dan Kidurong dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

Setelah memastikan kebakaran pada sepenuhnya dan keadaan selamat, anggota bomba kemudian berangkat balik ke balai.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.35 malam. — DayakDaily