Oleh Brad Rantayy
MIRI, 11 Feb: Kehadiran seekor biawak sepanjang satu meter di sebuah rumah pada petang Khamis di Jalan Pantai, Taman Bayshore di sini, telah megemparkan penghuninya.
Reptilia itu, bagaimanapun berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Miri.
Menurut pegawai APM Miri, Kapten (PA) Usman Harto, seramai empat anggotanya bergegas ke lokasi sebaik sahaja dimaklumkan pemilik rumah terbabit sekitar jam 4.46 petang.
“Pemilik rumah, seorang wanita dewsa berusia 52 tahun telah memaklumkan pihak kami mengenai reptilia tersebut yang pada mulanya berkeliaran di kawasan kediamannya sebelum ia bertindak masuk ke dalam rumahnya,” ujar Usman.
Katanya, setibanya di lokasi, operasi menangkap biawak itu segera dijalankan sebelum menemuinya di bawah meja makan di bahagian dapur rumah tersebut.
Anggota menggunakan peralatan khas untuk menangkap reptikia tersebut sebelum melepaskan haiwan tersebut ke habitat asalnya.
Operasi menangkap biawak tersebut mengambil masa kurang daripada 10 minit. — DayakDaily