Seorang pemilik kedai telefon bimbit maut dalam kemalangan di Sibu

Kenderaan mangsa diangkat keluar dari dalam parit di Jalan Ling Kai Cheng, Sibu.
Advertisement

SIBU, 30 Mei: Seorang pemilik kedai telefon bimbit maut selepas terlibat kemalangan di Jalan Ling Kai Cheng, di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa (lelaki) dikenali sebagai Kevin Law Juen, berusia 26 tahun, dan berasal dari Ulu Sungai Merah.

Jelasnya, mangsa semasa kejadian dikatakan memandu sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda dari arah Ulu Sungai Merah menuju ke pusat bandar pada jam 8 malam.

Advertisement

Mangsa bagaimanapun dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas memasuki parit di tepi jalan raya tersebut.

Anggota Bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membantu mengangkat kenderaan tersebut dan seterusnya mengeluarkan mangsa dari dalam kereta.

Akibat kemalangan tersebut, mangsa telah disahkan meninggal dunia sebaik sahaja dia berjaya dikeluarkan dari dalam kenderaan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement