Seorang parah, manakala seorang cedera dalam kemalangan

Kelihatan keadaan kemalangan melibatkan dua kenderaan.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 11: Seorang lelaki parah, manakala seorang lagi cedera ringan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Bako-Demak Laut di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu mengakibatkan pemandu Perodua Axia cedera parah akibat tersepit. Manakala, pemandu lori membawa muatan ikan hanya cedera ringan.


Jurucakap bomba dan penyelamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 11.26 malam.

Sebaik menerima laporan berhubung kemalangan tersebut sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta dan lori.

“Pemeriksaan selanjutnya mendapati pemandu kereta berkenaan masih dalam keadaan tersepit dan cedera parah,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pihak bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa.

Katanya, mangsa yang cedera parah kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya selepas kedua-dua dibawa ke hospital,” jelasnya. — DayakDaily