Empat sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah didiami terbakar

Kelihatan api sedang marak membakar sebuah rumah.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 11: Empat sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Lorong Chawan 13, Tabuan Jaya, di sini, musnah terbakar malam tadi.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 10.19 malam.

Jelasnya, sejurus itu sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan BBP Padungan bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati sebuah rumah setinggan jenis tidak kekal sedang terbakar.

“Pemeriksaan mendapati kesemua penghuni kediaman berkenaan berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, pemeriksaan lanjut mendapati penghuni rumah tersebut tidak sempat menyelamatkan barangan mereka kerana api marak dengan cepat.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily