Seorang parah, dua cedera dalam kemalangan kendiri

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa.
Advertisement

Oleh Dean Adam

BINTULU, Nov 27: Seorang parah, manakala dua cedera selepas kenderaan Nissan Grand Livina yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Sultan Iskandar di sini lewat petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 6.55 itu dipercayai berlaku apabila kenderaan berkenaan terlanggar pembahagi jalan lalu terbabas ke bahu jalan.

Advertisement

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Mostapha Wasli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.56 petang.

Katanya, sejurus itu, sepasukan enam anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati tiada mangsa yang tersepit akibat kemalangan itu.

“Bagaimanapun, terdapat seorang mangsa cedera parah, manakala dua orang lagi cedera ringan,” katanya di sini malam ini.

Mostapha menambah, mangsa yang cedera kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan bomba.

Katanya, mangsa yang cedera parah kemudian dibawa ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Operasi tersebut ditamatkan pada pukul 7.19 malam,” katanya. — DayakDaily

Advertisement