Seorang nelayan dikhuatiri hilang selepas terjatuh ke dalam perairan laut Mukah

Lokasi mangsa dikatakan terjatuh dalam perairan laut Mukah.

Oleh Dean Adam

MUKAH, Mei 30: Seorang nelayan dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari bot yang dikemudikan dalam satu kejadian di perairan laut Mukah di sini hari ini.

Laporan berhubung kejadian itu diterima dari seorang nelayan, Roslan Ahmad, yang mengatakan telah menjumpai sebuah bot fiber berwarna jingga tanpa pengemudi sedang berpusing-pusing di posisi 02° 54 967N 112° 04. 215E.


Jurucakap Maritim Malaysia Sarawak berkata, dimaklumkan bot tersebut adalah milik Ah Ling.

Katanya, enam bot nelayan tempatan sedang melakukan pencarian di lokasi penemuan bot berkenaan.

“Pasukan APM dan Bomba juga berada di lokasi untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Pasukan Zon Maritim Bintulu juga akan membuat persiapan carilamat sewajarnya,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, maklumat selanjutnya akan menyusul dan perkembangan terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa. — DayakDaily