Seorang maut, tiga cedera dalam nahas di Jalan Sri Aman-Serian

Pasukan Bomba menyelamat mangsa di lokasi kejadian.

SERIAN, 28 Dis: Seorang maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan pikap di kilometer 72 Jalan Kuching-Sri Aman hari ini.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata mangsa yang meninggal dunia merupakan penunggang motosikal iaitu seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun.

Katanya, semasa kejadian kedua-dua kenderaan tersebut dari arah Sri Aman menuju ke Serian sekitar jam 9 pagi.


“Siasatan mendapati pikap tersebut telah hilang kawalan lalu melanggar motosikal yang ketika itu berhenti di tepi jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal telah mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke Hospital Serian untuk rawatan sebelum dia disahkan meninggal dunia selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan tiga lagi mangsa iaitu pemandu dan dua penumpang pikap dilaporkan masing-masing mengalami kecederaan ringan.

Siasatan lanjut pihak polis berhubung kejadian masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily