Seorang maut, tiga cedera dalam kemalangan di Jalan Puncak Borneo

Keadaan kereta dinaiki kesemua mangsa selepas kemalangan tersebut.

KUCHING, 13 Ogos: Seorang maut, manakala tiga lagi lelaki cedera dalam kemalangan kendiri di Jalan Puncak Borneo, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Cristian Shall Steferd, berusia 21 tahun dan berasal dari Kampung Emperoh Jambu.

Katanya, mangsa semasa kejadian menumpang sebuah kereta bersama tiga lagi rakannya dipercayai dari Kampung Bratan menuju ke Kampung Emperoh Jambu sekitar jam 5.30 pagi.


Semasa dalam perjalanan tersebut, dipercayai kereta yang dipandu rakan mangsa berusia 20 tahun telah terbabas berdekatan Klinik Kesihatan Braang Bayur.

Akibat daripada kemalangan tersebut menyebabkan kesemua mereka mengalami kecederaan dan mangsa telah disahkan meninggal di Klinik Kesihataan Braang Bayur.

Manakala pemandu dan penumpang lain telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1981. — DayakDaily