Seorang maut selepas kenderaan 4WD dinaiki terbabas di Jln Taman Awam

Lokasi kemalangan.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 23 Sept: Seorang lelaki maut selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Nissan Navara yang dinaiki bersama seorang rakan terbabas sendiri di Jalan Taman Awam, awal pagi tadi (Jumaat).

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia yang tiba di situ dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Advertisement

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.37 pagi.

Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri Sentral diketuai PBK II Abang Muhd Fhazil terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa yang dilaporkan tersepit di dalam kenderaan tersebut.

Difahamkan, rakan mangsa yang turut cedera telah berjaya dikeluarkan orang awam sebelum jentera bomba tiba dan dibawa ke Hospital Miri.

Pasukan bomba juga menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak akibat kemalangan.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.06 pagi. — DayakDaily

Advertisement