Seorang maut, kereta bertembung lori tangki di Saratok

Keadaan di lokasi kejadian.

SARATOK, 9 Mac: Seorang lelaki meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 71, Jalan Sarikei-Betong, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mordani Tanin berkata, mangsa semasa kejadian memandu sebuah kereta jenis Proton Saga iaitu sekitar jam 10.25 malam.

Katanya kereta mangsa telah berlanggar dengan sebuah lori tangki yang bergerak dari arah bertentangan.

“Berdasarkan siasatan di tempat kejadian, kemalangan berlaku apabila kereta dari arah Betong dipercayai telah memasuki laluan bertentangan, lalu berlanggar dengan lori tangki.

“Akibat kemalangan tersebut, pemandu kereta telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Tambahnya mangsa yang meninggal dunia berasal dari Kampung Wawasan, Kabong.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu.

Mayat dihantar ke Hospital Saratok untuk tindakan lanjut. — DayakDaily