KUCHING, 8 April: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia dalam insiden kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Unser di Jalan Datuk Amar Kalong Ningkan awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 4.58 pagi.
Katanya, dilaporkan terdapat kemalangan jalan raya dan terdapat mangsa tersepit di dalam kenderaan.
Bertindak daripada laporan tersebut, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikerahkan ke lokasi.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Unser telah terbabas masuk ke dalam longkang dan terdapat lima mangsa (tiga lelaki dewasa dan dua perempuan dewasa) tersepit dalam kenderaan.
“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit menggunakan ‘rescue tools’ dari dalam jentera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, seorang lelaki iaitu pemandu kenderaan disahkan meninggal dunia di oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
“Manakala empat lagi mangsa yang cedera parah dihantar ke hospital dengan mengunakan Jentera EMRS dan Ambulans KKM,” katanya.
Setelah selesai menyerah dan menghantar ke hospital dan memastikan keadaan selamat di lokasi anggota berangkat balik ke balai.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.58 pagi. — DayakDaily