SIBU, 11 Nov: Seorang maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Ulu Oya, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 7 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Didapati kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga dan Proton Exora, di mana pemandu Proton Exora dan tiga penumpang Proton Saga yang cedera telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Manakala pemandu Proton Saga iaitu seorang lelaki berusia 53 tahun disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasukan Bomba kemudian bertindak memgeluarkan mayat mangsa dari dalam kereta.
“Komander operasi mengarahkan anggota mengeluarkan mayat mangsa dan kemudian menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Seterusnya pihak Bomba melakukan kerja-kerja pembersihan serpihan akibat kemalangan untuk memastikan keadaan selamat kepada pengguna jalan-raya lain. — DayakDaily