Seorang maut, empat cedera apabila kereta jatuh gaung

Kelihatan semua mangsa kemalangan keluar dari kereta selepas terbabas ke dalam gaung di KM32, Jalan Sri Aman-Kuching.
Advertisement

KUCHING, Nov 7: Seorang wanita terbunuh manakala empat lagi cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat kemalangan sekitar 3.30 petang di Kilometer 31, Jalan Sri Aman-Kuching di sini, Ahad lepas.

Mangsa dikenali sebagai Norhayati Abdullah @ Timoi Nopit berusia 58 tahun disahkan meninggal dunia sekitar jam 11.45 malam semasa sedang menerima rawatan di Hospital Sri Aman akibat cedera parah di kepala.

Difahamkan, semasa kejadian tersebut berlaku, mangsa dan empat lagi penumpang dipercayai dalam perjalanan dari Sibu ke Kuching..

Advertisement

“Hasil siasatan awal mendapati kereta bergerak lurus dalam perjalanan dari Sibu menuju Kuching.

“Bagaimanapun ia tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan terus masuk ke gaung tapak pembinaan jalan Pan Borneo,” kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, DSP Bingkok John yang mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi semalam.

Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Sri Aman menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Lebih kurang 11.45 malam (Ahad) pihak hospital memaklumkan Norhayati(mangsa) meninggal dunia,” katanya.

Setakat ini katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement