Seorang maut, dua parah dalam kemalangan di Lubok Antu

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

SRI AMAN, 19 April: Seorang wanita maut, manakala dua orang lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal dengan sebuah kereta di Kilometer 17 Jalan Lubok Antu-Sri Aman semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Bingkok John berkata mangsa seorang wanita berusia 47 tahun dan berasal dari Rumah Numpang Nanga Sempang, Lubok Antu.

Katanya, semasa kejadian mangsa menunggang sebuah motosikal sebelum dikatakan berlanggar dengan sebuah lagi motosikal dan kereta.


“Mangsa mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, dua lagi mangsa lelaki iaitu penunggang dan pembonceng sebuah lagi motosikal berusia 42 dan 12 tahun masing-masing mengalami kecederaan parah.

Pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 34 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pegawai penyiasat juga mendapatkan maklumat lanjut tentang kejadian dari saksi-saksi utama, selain turut menjalankan siasatan di tempat kejadian,” katanya. — DayakDaily