This Content Is Only For Subscribers
SARIKEI, 7 Ogos: Seorang maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kilometer 25, Jalan Sebangkoi, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.01 tengah hari.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati sebuah Toyota Hilux telah melanggar penunggang motosikal yang berhenti di perhentian bas semasa hujan.
“Penunggang motosikal, 39 tahun, disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan diserahkan kepada polis di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya dua lagi mangsa iaitu pembonceng motosikal dipercayai adik mangsa dan seorang bayi lelaki berusia 3 tahun dilaporkan turut mengalami kecederaan.
Kedua-dua mangsa bersama pemandu 4WD yang turut cedera dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan.
Pasukan Bomba kemudian memeriksa keadaan di lokasi dan kemudian berangkat balik selepas memastikan keadaan selamat dan terkawal. — DayakDaily