Seorang maut, dua cedera dalam kemalangan di Jalan Sri Aman-Serian

Keadaan motosikal mangsa yang terbakar di lokasi kejadian.

SRI AMAN, 13 Mei: Seorang maut, dua cedera parah dalam kemalangan babitkan sebuah motosikal dan kereta di Kilometer 23 Jalan Sri Aman-Serian malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata pihaknya menerima
laporan berhubung kejadian pada jam 7.15 malam (Jumaat).

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman terus dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah Honda CRV dengan motosikal jenis Yamaha R25.

“Semasa kejadian juga telah berlaku kebakaran pada kenderaan jenis motosikal, anggota bomba bertindak memadam kebakaran dengan sumber air dari tangki jentera,” katanya dalam satu kenyataan.

Unit EMRS telah memberi rawatan awal pada mangsa motosikal yang tercampak dan salah seorang telah dihantar ke ke hospital.

“Manakala seorang lagi mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bagi mangsa dari Honda CRV, didapati mengalami kecederaan di kepala dan telah dikejarkan ke hospital,” katanya.

Mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dikenali sebagai Beck Veron Ramping, 21 tahun.

Setelah memastikan kesemua mangsa telah diserahkan pada pihak perubatan, anggota bomba berangkat balik ke balai.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.55 malam. — DayakDaily