Seorang maut dalam kemalangan tiga buah kenderaan di Sepupok Niah

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Oleh Juetila Ozzy

BATU NIAH, 28 Nov: Seorang maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Sepupok Niah, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 10 pagi.


Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah terus bergerak ke lokasi.

“Setiba di lokasi kejadian, didapati benar terdapat kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah lori dan dua kenderaan jenis pacuan empat roda (4WD).

“Didapati juga terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di tempat duduk pemandu 4wd dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa selepas berjaya dikeluarkan dari dalam dalam kenderaan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pemandu lori telah dikeluarkan dengan bantuan orang awam dan dilaporkan turut mengalami kecederaan.

“Manakala tiga lagi mangsa dari dalam sebuah lagi 4wd dilaporkan selamat,” katanya.

Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 10.25 pagi dan kemudian anggota bomba berangkat balik ke balai.

“Bagaimanapun, selepas keadaan terkawal Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menerima panggilan kebakaran rumah panjang di Jalan Stephen Ulu Niah dan mereka terus bergegas ke tempat kejadian,” katanya. — DayakDaily