Seorang maut dalam kemalangan di Limbang

Keadaan di lokasi kejadian.

LIMBANG, 26 Dis: Seorang wanita meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Bakul, di sini semalam (25 Dis).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.50 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang terus bergegas ke lokasi kejadian.


“Komander operasi melaporkan kemalangan membabitkan sebuah Perodua Kembara dan Perodua Alza, di mana terdapat tiga orang mangsa di dalam Perodua Kembara dan seorang mangsa lagi dalam Perodua Alza.

“Pemandu Perodua Kembara dilaporkan tersepit dan dua lagi penumpangnya telah dibantu keluar oleh pihak bomba.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan pemandu yang tersepit dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambahnya, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Deena Lorenzo Christopher berusia 22 tahun.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Manakala seorang lagi iaitu pemandu Perodua Alza yang juga dikatakan tersepit telah berjaya dikeluarkan pihak bomba.

Kesemua mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Limbang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pasukan bomba seterusnya membuat kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kemalangan dan tumpahan minyak akibat kemalangan di lokasi. — DayakDaily